Saturday, August 07, 2010

PERLOMBONGAN PASIR

Pengenalan
Pengambilan pasir dari sungai-sungai adalah satu aktiviti yang telah lama di jalankan. Pasir merupakan bahan utama dalam industri pembinaan terutamanya yang melibatkan binaan konkrit dan jalan raya. Pasir juga banyak digunakan untuk kerja-kerja tebus guna tanah. Sumber pasir yang paling banyak dan mudah didapati ialah dari dasar sungai-sungai yang terdapat di negara ini.
Terdapat pelbagai kaedah yang digunakan untuk untuk mengeluarkan bahan pasir dari sungai. Antaranya ialah:

a. Menggunakan kapal korek


b. Menggunakan pam dan pontun

c. Menggunakan jengkaut jenis ‘dragline’ atau hidrolik

d. Menggunakan tenaga manusia dengan alat penyedok dan sampan.

Namun begitu, kaedah yang terakhir iaitu menggunakan tenaga manusia adalah tidak relevan untuk penggunaan pasir dalam jumlah yang banyak. Kaedah yang paling popular adalah dengan menggunakan pam dan jengkaut manakala penggunaan kapal korek hanya digunakan di bahagian kuala dan sungai-sungai yang besar sahaja.

Walaubagaimanapun, aktiviti ini menimbulkan masalah sehingga menjejaskan alam sekitar. Antara kesannya ialah:
  • Hakisan dan ketidakstabilan tebing sungai. Akibat daripada itu, ia akan menjejaskan hidupan akuatik yang terdapat didalamnya.

  • Perubahan terhadap regime sungai. Sumber mineral negara seperti batu, tanah dan air turut terjejas.

  • Halangan ke atas aliran sungai. Sungai akan menjadi dalam dan sistem pengaliran sungai akan menjadi deras.

  • Gangguan kepada pergerakan pengangkutan air. Ini kerana, apabila tanah dikorek untuk mendapatkan pasir di dasar sungai, struktur dasar sungai akan menjadi lemah dan bila-bila masa sahaja ianya boleh pecah.

  • Kerosakan ke atas persekitaran sungai.

  • Kemerosotan kualiti air di hilir sungai. Sumber tadahan air akan tercemar dan ini akan memberi kesan terhadap manusia yang menggunakan air tersebut.

  • Mendapan di bahagian saluran pengambilan air dan lain-lain struktur sungai di hilir.


Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia


Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) adalah satu badan kerajaan yang mana mengurus sumber air, lembangan sungai, risiko banjir dan zon pantai bagi mencapai kelestarian alam sekitar dan peningkatan kualiti hidup. Maka dengan itu, JPS telah menetapkan beberapa syarat untuk para pelombong untuk dipatuhi. Antaranya:
  1. Memastikan sungai dilindungi dari hakisan termasuk dasarnya.

  2. Mengelak gangguan kepada kerja pengendalian dan penyelenggaraan sungai oleh JPS atau agensi-agensi lain.

  3. Tidak akan menghalang air sungai dan pergerakan pengangkutan air.

  4. Dapat mengelak atau mengurangkan mendapan pasir di hilir sungai
  5. Dapat memelihara rejim dan persekitaran sungai

  6. Tidak akan mencemarkan kualiti air sungai sehingga boleh membahayakan hidupan sungai dan manusia.

ISU PERLOMBONGAN PASIR DI SELANGOR

Terdapatnya pelbagai isu berkenaan dengan perlombongan pasir secara haram di negara ini. Salah satunya ialah yang berlaku baru-baru ini iaitu perlombongan yang dilakukan kira-kira 50 meter daripada taman rekreasi Paya Indah Wetlands di negeri Selangor. Ianya antara projek yang dikendalikan oleh Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. (KSSB). Walaupun KSSB mempunyai permit yang sah namun begitu, ianya menjadi suatu isu lantaran lokasinya yang terlalu hampir dengan taman Paya Indah Wetlands.
Perlombongan pasir ini dikhuatiri akan memberi implikasi negatif kepada ekosistem dan alam sekitar jika ia dikendalikan tanpa mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan oleh pihak berwajib. Isu ini perlu dipandang serius oleh semua pihak kerana ini melibatkan masa depan alam sekitar dan juga habitat flora dan fauna. Maka dengan itu, ia perlu dikaji sedalam-dalamnya sebelum kata sepakat diambil demi kepentingan alam sekitar dan makhluk yang menghuninya.

Kegiatan perlombongan pasir yang dijalankan memberi kesan sampingan seperti pencemaran air, udara dan bunyi. Ini memberi implikasi yang tidak sihat kepada persekitaran hidup mereka. Jika kegiatan ini dibiarkan, ia akan menjejaskan tahap serta kualiti kesihatan penduduk sekitar ekoran terdedah kepada habuk, debu dan sumber air yang tercemar.

Malahan, pencemaran air, udara dan bunyi yang berpunca daripada jentera melombong serta mencuci pasir juga akan turut mengancam habitat burung air yang menjadi tarikan di taman rekreasi tersebut. Selain itu, bunyi bising daripada jentera pengorek pasir akan menyebabkan berlakunya migrasi unggas ke tempat lain. Ianya memberi implikasi buruk lantaran keunikan taman semakin terhakis dan kekayaan spesis yang kian berkurangan, juga mengancam spesis kehidupan liar lain yang menghuni taman tersebut. Keadaan ini sekaligus meletakkan spesis-spesis dalam situasi bahaya. Lebih buruk lagi, hidupan liar ini akan diancam kepupusan. Apabila ianya berlaku, matlamat awal penubuhan pusat ini, iaitu untuk menjadi pusat ekopelancongan utama di Malaysia akan gagal. Ini akan memberi implikasi ekonomi yang besar kepada negara.

Selain daripada memberi kesan negatif terhadap spesis hidupan liar, aktiviti tersebut juga mempunyai kesan yang serius ke atas bentuk muka bumi. Sebagai contoh, aktiviti ini berkemungkinan akan menyebabkan struktur tanah menjadi tidak stabil yang mana boleh mengakibatkan tanah runtuh dan jerlus. Jika dibiarkan perkara ini berlanjutan, ini akan meninggalkan lompang besar yang sukar dipulihkan. Untuk proses pemulihan pula memerlukan belanja yang besar yang mana akan mengakibatkan kerugian kepada negara. Beribu-ribu spesis tumbuhan dan haiwan menghadapi kepupusan kerana populasi mereka adalah terlampau rendah akibat daripada aktiviti manusia. Maka dengan itu, kita sebagai masyarakat yang prihatin perlu menjaga kebajikan dan keharmonian alam sekitar kita kerana kita hidup di muka bumi ini sebagai khalifah yang bertanggungjawab untuk memakmurkan alam ini.





Posted by: Nur Amalieni Bt Abu Kasim (207367)

Friday, August 06, 2010

ALAM SEKITAR DAN KOMPONEN-KOMPONEN ALAM SEKITAR

"Konsep alam sekitar merupakan alam tabii adalah unsur-unsur alam sekitar yang melibatkan perhubungan antara dua unsur iaitu abiotik dan biotik. Unsur abiotik dikenali sebagai tidak hidup manakala unsur biotik pula dikenali sebagai unsur hidup seperti manusia dan ikan. Kesemua unsur alam sekitar saling berhubungan antara satu sama lain dalam suatu sistem yang harmoni dan dinamik" (Zaini Ujang, 1997)


SIFAT-SIFAT ALAM SEKITAR


Zaini Ujang berpendapat alam sekitar mempunyai sifat-sifat yang seimbang, indah dan segar. Seimbang ialah sentiasa harmoni, dinamik dan berhubungan antara satu unsur dengan satu unsur yang berbeza sifatnya. Contohnya ialah keseimbangan penghasilan oksigen yang dikeluarkan oleh tumbuhan berkaitan dengan penghasilan karbon dioksida yang dikeluarkan oleh haiwan dan manusia.

Indah pula merupakan persekitaran semula jadi seperti tumbuhan, gunung-ganang, lautan, sinar suria, air terjun dan sebagainya. Kesemua ini merupakan ciptaan Tuhan yang terbaik, suci dan sistematik. Manusia dijadikan supaya boleh menjadikan sumber alam semula jadi sebagai pusat ketenangan. Kita boleh beriadah dan berekreasi dengan keindahan alam sekitar seperti hutan, laut, jeram dan tasik.

Sifat alam sekitar yang segar disalurkan melalui warna-warna asli yang segar mata memandang. Warna-warni flora dan fauna adalah rahmat dan nikmat yang tidak terhingga kepada manusia dan hidupan alam seluruhnya. Kepelbagaian flora dan fauna memberi faedah kepada manusia dan makhluk yang lain supaya dapat membeza, mengenal pasti, menentu dan mengambil keputusan dalam sesetengah hal misalnya warna hijau merupakan tumbuhan segar dan boleh menyegarkan mata, rasa nyaman, sejuk, rehat dan tenang.

Manakala warna biru adalah unsur alam yang sesuai bagi manusia dan hidupan kerana ia melambangkan kilauan dan sifat air yang bersih dan sihat. Oleh itu, warna-warna alam sekitar memainkan peranan penting untuk manusia dan makhluk ciptaan Tuhan yang lain dalam kehidupan. Terdapat banyak warna lain yang terdapat dalam persekitaran kita, umpamanya warna merah, hitan dan kuning.


KOMPONEN-KOMPONEN ALAM SEKITAR


Atmosfera

Atmosfera terdiri daripada beberapa lapisan sfera yang berbaza-beza sifatnya antara satu sama lain. Ruangan atmisfera berada dalam lingkunagn kira-kira 100km dari muka bumi hingga ke angkasa lepas atau lebih mudah ia disempadani oleh lapisan ozon (Saberi Othman, 1986). Terdapat empat sfera dalam ruangan atmosfera yang dibezakan berdasarkan suhu udara yang terdiri daripada lapisan Troposfera, Stratosfera, mesosfera dan termosfera.


Unsur udara yang mempunyai oksigen (O2), nitrogen (N2), Hidrogen (H2) dan lain-lain dalam persekitaran akan menentukan tahap kebersihan udara. Punca-punca utama gas dan bahan cemar wujud daripada aktiviti manusia dan juga semula jadi. Sumber pencemar daripada manusia seperti pembakaran terbuka yang menghasilkan bau, habuk, abu, gas-gas dan lain-lain; kenderaan berenjin mengeluarkan bunyi bising dan asap; industri pula menghasilkan gas-gas beracun bagi manusia dan alam. Aktiviti-aktiviti manusia yang lain ialah pembakaran hutan, sektor pembinaan yang mengeluarkan debu serta habuk, letupan dan letusan gunung berapi , ribut pasir dan semburan (sea-spray).

Contoh 'Sea-Spray'

Litosfera



Lapiran litosfera pula terdiri daripada unsur batuan, tanah dan tanih. Lapisan tersebut merupakan struktur asas yang membina bentuk muka bumi dan unsur asas bagi kebanyakan hidupan menjalankan kehidupan dan mencari makanan. Boleh dianggap bahawa, lapisan litosfera merupakan habitat bagi sebahagian spesies yang hidup di dalamnya.


Manusia banyak menjalankan aktiviti mereka atas permukaan bumi yang terdiri daripada daratan seperti perkilangan, pembinaan, pengangkutan, cari gali minyak, gas dan mineral, pertanian dan pembalakan. Contoh pencemaran alam sekitar yang melibatkan Litosfera ialah hakisan tanah, tanah runtuh, gelunsur tanah dan tanah mendap.

Biosfera


Lapisan biosfera meliputi unsur hidupan atau hayat dan unsur ini tidak terhad kepada unsur yang bernyawa sahaja malahan turut melibatkan elemen yang tidak bernyawa. Unsur bernyawa dapat dicontohkan seperti manusia, haiwan, serangga, organisma dan mikroorganisma; manakala unsur tidak bernyawa pula seperti tumbuhan dan flora.

Lapisan ini penting bagi menstabilkan fizikal litosfera dan kehidupan hayat keseluruhannya. Kestabilan litosfera seperti tanah-tanih boleh disokong dengan tumbuhan; kehidupan manusia juga dibantu oleh tumbuhan yang mengeluarkan oksigen serta manusia juga menggunakan sumber daripada biosfera untuk makanan. Semua ini merupakan pertalian yang penting dalam sebuah ekosistem yang melibatkan lapisan litosfera dan biosfera.


Hidrosfera


Komponen alam sekitar yang tidak kurang pentingnya kepada ekosistem semula jadi dunia ialah hidrosfera. Secara mudahnya, hidrosfera merupakan lapisan yang terdiri daripada komponen berair dan ini melibatkan punca, proses kegunaan air, kitarannya dan kawasan yang terlibat dengan punca-punca air. Air ini wujud dipermukaan bumi, bawah tanah dan udara yang kesemuanya memainkan peranan penting dalam pergerakkan sistem dunia. Sememangnya air memainkan peranan utama dalam kehidupan makhluk bagi tujuan seperti minuman, pengankutan, menjalankan proses dalaman badan serta mandi bagi merendahkan suhu dan kebersihan badan.

Komponen ini juga tidak dapat dielakkan daripada menjadi mangsa pencemaran terutamanya pencemaran sungai. Dahulunya, sungai hanya dicemari oleh hakisan tanih kelodak tanih yang berpunca daripada aktiviti pertanian tetapi sekarang kegiatan manusia menjangkau jauh daripada punca tersebut dan mampu menjana punca pencemaran yang baru. Umpamanya pelepasan efluen domestik, perindustrian, perlombongan dan pelupusan sampah berhampiran sungai. Kepelbagaian punca pencemaran sungai ini adalah disebabkan oleh kegiatan pembangunan yang tidak terkawal dan kelalaian manusia menjaga khazanah alam sekitar semula jadi untuk generasi akan datang.



Perhubungan Antara Komponen


Sistem Alam Sekitar Fizikal (SASF) boleh dibahagikan kepada empat komponen penting iaitu atmosfera, litosfera, biosfera dan hidrosfera. Kesemua komponen saling berhubung dan bertindak balas antara satu sama lain, lantas membolehkan berubah dan musnah. Perhubungan tersebut merupakan pertalian yang kompleks atau rencana antara sesuatu unsur.

Memandangkan manusia sentiasa lalai terhadap kualiti alam sekitar, maka kemerosotan alam sekitar akan berlarutan dan menjadi semakin meruncing dan suatu masa nanti. Sekiranya manusia mencemarkan salah satu komponen alam sekitar seperti litosfera, kesan terhadap atmosfera, hidrosfera dan biosfera akan berlaku tanpa syak lagi. Impak dan kesan yang seumpanya wujud disebabkan semua komponen alam sekitar saling berhubungan antara satu sama lain. Malah ia akan berganda dalam bentuk kumulatif impak bagi sesetengah elemen. Peningkatan kadar kumulatif impak sangat dibimbangi oleh pencinta alam sekitar hingga ke hari ini kerana impak atau kesan tersebut sukar diatasi oleh kita.
SASF saling berkaitan antara satu sama lain untuk mewujudkan keseimbangan dinamik iaitu berubah-ubah tetapi dalam keadaan timbal-balik. Atribut atau subsistem yang dimaksudkan itu ialah litosfera, biosfera, hidrosfera dan atmosfera.


ABIOTIK DAN BIOTIK

Abiotik


Abiotik adalah unsur bukan dalam ekosistem semula jadi. Ia boleh dikaji menerusi dua pendekatan iaitu Fizik dan Kimia. Pendekatan fizik seperti suhu, cahaya, kedalaman air, hujan dan iklim; manakala yang kedua kimia yang melibatkan unsur seperti nutrien dan pH (saberi Othman, 1986)

Sesuatu perkara tidak berasingan dalam menjalakan proses, sebaliknya berlaku pertembungan dan persaingan antara unsur-unsur lain. Oleh itu, abiotik bergantung kepada biotik bagi menjalankan proses interaksinya. Contoh yang jelas ialah nutrien bergantung rapat dengan organisma (bakteria) bagi proses perkembangannya. Bakteria berfungsi untuk mereputkan haiwan, manusia dan sebagainya untuk mengembalikan semula khilangan nutrien secara semula jadi yang digunakan oleh tumbuhan dan organisma (Nor' Aini Dan, 1992). Disini jelas bahawa selain daripada nutrien (abiotik) memerlukan organisma (biotik), organisma juga memerlukan nutrien untuk membantu proses perkembangannya.

Biotik



Komponen biotik sebenarnya merujuk kepada unsur yang hidup atau bernyawa seperti manusia, haiwan dan organisma. Ia adalah bertentangan dengan komponen abiotik yang bukan terdiri daripada unsur bukan hidup. Komponen biotik ini sangat bergantung rapat dengan abiotik serta saling bertindak balas membentuk keseimbangan ekosistem. Sekiranya komponen biotik tidak wujud, seolah-olah alam ini diciptakan tidak lengkap dan tidak boleh berdiri sendiri untuk menjalankan proses semula jadi.


Contohnya unsur hayat seperti cacing yang bertindak dan memainkan peranan penting dalam mengeluarkan baja asli dan menggemburkan tanah. Sekiranya komponen biotik tidak wujud maka kemungkinan tanah mudah hilang nutrien semula jadi dan akhirnya hilang kesuburan dalam jangka masa tertentu. Walaupun terdapat unsur lain yang boleh menggantikan cacing. namun salah satu daripada agen penggembur tanah secara semula jadi akan hilang sekiranya cacing tidak wujud lagi. Dalam hal ini, unsur biotik dianggap penting dalam kelangsunan keseimbangan alam sekitar seperti ekosistem tanih.




Posted by : Leny Tong Chiou Yi ( 207528 )

Thursday, August 05, 2010

KITAR SEMULA


Pengenalan

Kitar semula ialah proses mengolah semula bahan buangan untuk menghasilkan barangan yang baru. Kitar semula dapat mengurangkan bahan buangan, mengurangkan penggunaan bahan mentah baru, mengurangkan penggunaan tenaga, pencemaran udara ( dari pembakaran ), dan pencemaran air ( dari tapak perlupusan ) dan mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau berbanding penghasilan barang baru dari bahan mentah. Kitar semula adalah komponen utama bagi pengurusan bahan buangan moden dan komponen ketiga bagi "pengurangan pembaziran, guna semula, kitar semula dan hirarki buangan ".

Bahan boleh dikitar semula termasuk:


Kaca


Kertas


logam


Plastik


Elektronik


Sungguhpun sama berkesan, penghasilan kompos atau kegunaan lain bahan buangan biodegrable seperti sampah makanan atau lebihan taman dan biasanya tidak dianggap kitar semula. Bahan yang hendak dikitar semula samada di bawa ke tapak pengumpulan atau dikutip dari tepi jalan dan disusun, dibersihkan dan diproses semula menjadi bahan baru bagi pengilangan.

Dalam erti kata sebenar, mengitar semula bahan buangan akan menghasilkan bekalan baru bagi bahan yang sama sebagai contoh kertas pejabat terpakai digunakan bagi menghasilkan kertas pejabat yang baru, atau polisterin terpakai digunakan bagi menghasilkan polisterin lain. Bagaimanapun, ini seringkali terlalu sukar atau terlalu mahal berbanding dengan menghasilkan keluaran yang sama dari bahan mentah atau sumber lain, dengan ini kebanyakan barangan atau bahan kitar semula sebaliknya membabitkan kegunaan semula bagi menghasilkan bahan lain seperti kadbod.

Pengkritik seringkali mempertikaikan kebaikan bersih dari segi ekonomi dan persekitaran mengitar semula berbanding kosnya, dan mencadangkan penyokong kitar semula seringkali menjadikan keadaan lebih teruk dan mengalami pengesahan berat sebelah. Khususnya, pengkritik mendakwa bahawa kos dan tenaga yang digunakan dalam pengumpulan dan pengangkutan mengurangkan dan melebihi kos dan tenaga yang dijimatkan dalam proses pengilangan juga kerja yang dihasilkan oleh industri kitar semula adalah pertukaran merugikan kepada kehilangan kerja dalam pembalakan, perlombongan dan industri yang dikaitkan dengan pengeluaran baru dan bahan seperti pulp kertas hanya boleh dikitar beberapa kali sebelum penguraian bahan menghalang lanjutan pengitaran semula. Penyokong kitar semula menafikan semua tuduhan, dan pengesahan pendapat kedua pihak mendorong kepada pertikaian yang yang berpanjangan.


Kepentingan kitar semula


Kitar semula mempunyai kepentingan yang tersendiri. Antara kepentingan kitar semula ialah untuk memelihara ruang hidup kita. Seperti yang diketahui, kini terdapat kira-kira 230 tapak pelupusan sampah di Malaysia. Setiap satunya berkeluasan antara 20 hingga 150 ekar, bergantung pada lokasi dan jumlah sampah yang dibuang. Jika tapak pelupusan sampah dipenuhi dengan sampah ini menyebabkan tapak baru perlu dibuka untuk menampung jumlah sampah yang banyak dan lambat laun, tapak-tapak ini akan berkembang dan menular mencerobohi ruang hidup kita.

Persekitaran yang lebih sihat dan selesa juga diperolehi dengan mengamalkan kitar semula. Sampah yang banyak akan menjejaskan kesihatan manusia dan kebersihan persekitaran. Kitar semula ini dapat mengurangkan sampah yang dibuang dan seterusnya mengawal penyakit daripada menular dengan cepat. Kitar semula ini dapat mengurangkan pencemaran akibat daripada longgokan bahan buangan di dalam tong sampah, lori atau tapak pelupusan sampah yang mana merupakan salah satu punca daripada tiga pencemaran utama.

Selain daripada itu, kos, sumber dan tenaga dapat dijimatkan. Dengan mengitar semula 1 tin alumunium, kita umpama menjimatkan tenaga elektrik selama 3 jam daripada penggunaan televisyen. Apa yang dapat kita perolehi daripada mengitar semula kertas secara maksimum ialah kita dapat mengurangkan penebangan pokok dan secara tidak langsung kita dapat memelihara sumber hutan semulajadi.


Masalah atau halangan kitar semula

Pada masa kini, konsep kitar semula ini kurang diterapkan dalam diri masyarakat kerana masyarakat pada hari ini lebih mengamalkan sikap tidak menghiraukan alam sekitar. Antara punca dan halangan utama yang menyebabkan amalan kitar semula ini tidak mendapat sambutan ialah sikap individu dimana terdapat segelintir masyarakat yang tidak mempedulikan amalan kitar semula ini. Kebanyakan barangan yang boleh dikitar semula dibuang dan dibakar begitu sahaja.

Selain daripada itu kurangnya pengetahuan di kalangan masyarakat pada masa kini yang membuang bahan kitar semula kerana mereka tidak sedar betapa pentingnya amalan kitar semula. Bagi mereka, amalan kitar semula ini hanya membuang masa dan tidak mendatangkan sebarang kepentingan.

Kebanyakan pusat pengumpulan mengambil barangan kitar semula dnegna harga yang rendah menyebabkan penduduk sekitar lebih senang membakar bahan tersebut daripada menjualnya. Di samping itu, kurangnya pusat pengumpulan bahan kitar semula juga menjadi punca utama mengapa amalan kitar semula ini tidak mendapat sambutan. Selain daripada itu, terdapat juga masyarakat yang tidak memberikan kerjasama apabila kempen kitar semula ini dijalankan oleh kerajaan. Sikap tidak ambil peduli tentang amalan kitar semula ini menyebabkan usaha kerajaan untuk menjimatkan tenaga dan bahan kitar semula tidak akan terlaksana.


Langkah-langkah untuk mengatasi masalah


Bagi memastikan amalan kitar semula ini dijalankan di kawasan kajian, beberapa langkah atau tindakan dapat di lakukan bagi memastikan amalan tersebut dapat dilaksanakan dengan baik. Langkah-langkah tersebut adalah seperti mengadakan kempen bagi melahirkan masyarakat yang lebih prihatin terhadap alam sekitar. Selain itu, kempen ini dapat memberikan kesedaran kepada rakyat supaya menjaga alam sekitar daripada mengalami kemusnahan.

Pendidik juga memainkan peranan penting dalam memberikan galakan kepada pelajar untuk melaksanakan amalan kitar semula. Pendidik perlu menyatakan bahawa amalan kitar semula dapat menyelamatkan bumi dari ancaman kemusnahan. Dengan memberikan pendekatan yang menarik, pelajar dapat memupuk minat pelajar untuk mencintai alam sekitar.

Peranan kerajaan juga perlu untuk memastikan amalan kitar semula ini mendapat sambutan dengan cara menyediakan lebih banyak lagi kemudahan pusat pengumpulan. Institusi pendidikan juga boleh menyediakan tong-tong kitar semula dan diletakkan di lokasi yang strategik begi memudahkan pelajar membuang bahan yang boleh dikitar semula ke dalam tong yang betul.

Amalan gotong-royong juga mampu menjamin kebersihan persekitaran sekaligus mengumpulkan bahan kitar semula dan tidak membakar atau membuangnya begitu sahaja. Semua pihak perlulah berganding bahu dan bekerjasama agar kitar semula ini dapat dijalankan dengan sempurna. Semua peringkat umur perlu mempunyai sikap bertanggungjawab untuk bersama-sama menjaga bumi ini daripada ancaman kemusnahan.




Posted by : Umi Nazihah Bt Mohd Misleh (2074
11)

KEPUPUSAN FLORA DAN FAUNA


Pengenalan


Pada masa kini manusia masih lagi terkejar-kejar kemewahan yang berlandaskan teknologi dan kecanggihan cara hidup. Tetapi harga yang perlu dibayar untuk mencapai semua itu adalah sangat tinggi. Pelbagai khazanah bumi terpaksa di korbankan untuk memenuhi kehendah dan nafsu manusia masa kini. Kealpaan manusia telah mengakibatkan angka flora dan fauna yang hamper pupus semakin meningkat angkanya. Kepupusan flora dan fauna telah berada pada zon berbahaya dan ia perlu diambil serius selagi kita mempunyai masa. Blog ini akan membincangkan tentang punca-punca kepupusan flora dan fauna, kesan-kesan kepupusan dan langkah-langkah yang dianggap sesuai untuk mengatasi masalah ini. Kebanyakan contoh-contoh yang diselitkan melibatkan Negara kita sendiri iaitu Negara Malaysia.


Definisi



Menurut kamus bahasa melayu edisi kedua (1996), flora membawa maksud `tumbuhan-tumbuhan yang terdapat pada satu-satu daerah atau pada suatu masa’, manakala fauna pula bermaksud `seluruh binatang yang hidup di suatu tempat’. Kepupusan pula menurut kamus bahasa melayu bemaksud `habis lenyap’. Kepupusan flora dan fauna boleh di definisikan sebagai kebinasaan atau kelenyapan tumbuhan dan haiwan semulajadi dari muka bumi.



Punca-Punca Kepupusan Flora Dan Fauna


Terdapat pelbagai punca yang boleh menyumbang kepda kepupusan flora dan fauna sama ada secara langsung atau secara tidak langsung. Diantara punca-puncanya adalah pembalakan haram yang merupakan salah satu punca utama kepupusan flora dan fauna. Pembalak-pembalak haram giat menjalankan pembalakan secara terbuka di kawasan yang tidak sepatutnya ditebang dan menyebabkan tumbuhan renek mengalami kepupusan.


Pembakaran hutan juga dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang dilakukan secara terbuka. Hal ini akan menyebabkan habitat kehilangan tempat tinggal. Perkembangan arus permodenan menyebabkan banyak pembangunan berlaku di atas bumi. Untuk memenuhi permintaan yang semakin tinggi, banyak kawasan baru yang diterokai untuk membina penempatan baru, dijadikan kawasan pertanian dan perindustrian


Selain itu, aktiviti menangkap ikan merupakan salah satu punca rezeki bagi nelayan-nelayan di persisiran pantai. Tangkapan menggunakan jala, pancing, bubu dan cara tradisional yang lain menjejaskan habitat dan bilangan hidupan akuatik di perairan dan menggugat segala hidupan di dasar laut seperti terumbu karang dan sebagainya.


Suhu dunia juga semakin meningkat dari hari ke hari yang menunjukkan bahawa lapisan ozon semakin menipis. Tidak semua flora dan fauna mampu bertahan dengan suhu yang panas membahang. Apabila hutan mengalami kepanasan yang melampau iaitu mengalami kepanasan global, haiwan-haiwan juga turut merasainya.



Kesan-Kesan Kepupusan Flora Dan Fauna


1. Kitaran kehidupan akan terjejas
  • Apabila haiwan-haiwan dan tumbuhan mengalami kepupusan yang serius, ia turut menjejaskan kitaran kehidupan. Contohnya, haiwan yang diburu boleh menyebabkan kepupusan. Apabila tiada lagi harimau untuk mengawal populasi rusa dan kijang. Haiwan-haiwan ini terus membiak dan mampu merosakkan kawasan rumput di sekitarnya.

2. Hakisan tanah dan tanah runtuh
  • Akibat dari pembakaran yang tidak terkawal dan pembukaan tanah baru mendorong tanah runtuh berlaku. Akar-akar pokok secara tidak langsung mencengkam tanah daripada runtuh. Akar-akar ini akan memastikan tanah sentiasa berada dalam kedudukan semulajadi. Tetapi apabila hutan dan pokok-pokok digondol, tiada lagi akar-akar yang mencengkam tanah. Apabila tiada lagi sokongan pada tanah, tanah tidak lagi mampu untuk menampung segala benda di atasnya. Hasilnya, hakisan tanah atau tanah runtuh berlaku. Dahulu negara di gemparkan dengan tragedi tanah runtuh di Genting Highlands dan Highlands tower. Jika diperhatikan kawasan sekelilingnya tidak banyak pokok dan ini menyebabkan hakisan tanah sekaligus tanah runtuh pun berlaku.

3. Mencacatkan pemandangan alam
  • Apabila flora dan fauna yang sebelum ini menyerikan alam semulajadi mengalami kepupusan, yang terbentang di depan mata hanyalah kawasan gersang dan gondol seperti gurun. Malaysia yang kaya dengan pelbagai jenis spesis tumbuhan dan haiwan serta hutan hujan tropika bertukar menjadi padang jarak padang terkukur. Sudah tentu keadaan ini mencacatkan pemandangan alam semulajadi


Langkah-Langkah Mengatasi



Terdapat pelbagai langkah-langkah yang patut di ambil bagi mengatasi masalah kepupusan flora dan fauna di Malaysia. Antaranya ialah mewujudkan sistem pengurusan hutan yang boleh menjamin dan melindungi flora dan fauna seperti menjalankan penanaman semula contohnya menanam semula pokok kayu balak yang telah ditebang bagi menggantikannya. Selain itu, dengan menghadkan kapasiti hutan untuk mengelakkan tumbuhan dan pokok-pokok ditebang.

Kerajaan juga perlu memainkan peranan utama dalam memperketatkan undang-undang tentang pembalakan dan pemburuan haram. Pihak berkuasa perlu sentiasa peka dengan setiap pergerakan yang dilakukan oleh pembalak dan pemburu haram kerana kewujudan mereka bakal menghancurkan flora dan fauna. Dengan mengiktiraf lebih banyak kawasan hutan sebagai Taman Negara, taman rekreasi, taman laut dan sebagainya dengan keluasan mencukupi, habitat flora dan fauna boleh terpelihara.


Kesimpulan


Secara kesimpulannya pelbagai aspek perlu diambil kira sebelum melakukan sesuatu perkara. Dalam hal membangunkan Negara menerusi perindustrian, alam semulajadi tidak boleh dilupakan. Jika khazanah bumi ini tidak dijaga dengan sebaik-baiknya tidak ada lagi yang tinggal untuk generasi yang akan datang. Dunia ini adalah pinjaman manusia tidak berhak untuk merampas atau meragut kekayaan dunia dengan sewenang-wenangnya segala pekara yang ingin dilakukan perlu melalui pelbagai fasa untuk mengelakkan sebarang ancaman terhadap alam semulajadi. Kepupusan flora dan fauna mampu menjadi mimpi ngeri buat kita semua jika tiada sikap ambil peduli dengan anugerah Tuhan ini.



Posted by : Nurul Hidayah Binti Md Ami (207396)


PEMBUANGAN SISA TOKSID

Pengenalan


Sektor perindustrian di Malaysia berkembang amat pesat dari hari ke hari. Kilang getah, kelapa sawit, tekstil dan bermacam-macam lagi tumbuh bak cendawan selepas hujan. Namun begitu, pencemaran yang disebabkan oleh pembangunan sektor ini juga sering berlaku seiring dengan pertumbuhan perindustrian yang berlaku. Sebagai pengeluar utama minyak kelapa sawit mentah dunia, Malaysia perlu sentiasa berusaha mencari inisiatif untuk mengawal pencemaran yang berlaku di sektor ini khasnya dan sektor-sektor perindustrian lain sejajar dengan arus perkembangan teknologi yang sentiasa berkembang.


Punca-punca pencemaran

Kemusnahan alam sekitar diakibatkan oleh pelbagai pihak. Sektor perindustrian dan sektor pertanian yang merupakan sektor terpenting di negara kita turut menyumbang dalam kemusnahan alam sekitar. Selain itu, punca-punca lain adalah penggunaan baja kimia dan secara berlebihan, penebangan pokok-pokok secara berleluasa, pembakaran terbuka, pembebasan gas-gas kimia, pengeluaran dan pembuangan sisa-sisa toksik.

Sumber pencemar daripada kawasan perindustrian ialah



Pembuangan sisa kilang melalui kegiatan pihak pengusaha kilang yang suka membuang sisa kilang ke dalam sungai seperti logam yang berbahaya contohnya zink, timah hitam dan raksa membahayakan hidupan akuatik. Pembuangan bahan sisa yang membahayakan ini boleh memusnahkan kawasan habitat hidupan akuatik dan boleh memudaratkan kesihatan manusia yang menggunakan air atau memakan hidupan air yang telah dicemari.

Sumber pencemar dari penjana kuasa elektrik haba yang banyak menggunakan air untuk proses penyejukan. Air yang panas akan dibuang ke dalam sungai menyebabkan air di sekitar kawasan pembuangan air panas tadi turut menjadi panas. Air yang panas ini akan menganggu ekologi hidupan akuatik dalam sungai. Kesan pemanasan air secara ini disifatkan sebagai pencemaran terma. Salah satu kesan langsung daripada pencemaran terma ialah kematian ikan kerana kekurangan oksigen akibat daripada perubahan suhu air di kawasan itu secara mendadak. Terdapat juga hidupan yang terpaksa beradaptasi terhadap perubahan suhu ini dan akan terus tinggal di kawasan ini manakala haiwan yang tidak dapat menyesuaikan keadaan ini akan berpindah ke kawasan lain. Manakala haiwan yang tidak dapat bergerak dengan pantas dan tidak dapat menyesuaikan keadaan ini akan mati.


Sumber pencemaran yang seterusnya adalah daripada sumber pencemar dari bahan pertanian seperti baja dan pembaik tanah yang digunakan untuk aktiviti pertanian. Aktiviti ini biasanya mengggunakan baja untuk menyuburkan tanaman dan mendapatkan hasil tanaman yang banyak. Baja utama yang selalu digunakan dalam pertanian adalah sebatian nitrogen, fosforus dan kalium. Baja fosforus dan kalium diserap dengan mudahnya pada zarah tanih dan jarang menjadi masalah pencemar. Tetapi nitrogen di dalam larutan hanya sebahagiannya sahaja digunakan oleh tumbuh-tumbuhan atau diserap oleh tanih dan baja nitrogen ini merupakan bahan pencemar utama kepada kawasan sungai.

Selain itu pembaik tanih
digunakan untuk tanah yang dialirkan untuk mengubah sifat fizik atau sifat kimia tanih. Untuk tujuan ini kapur, gipsum dan sulfur digunakan dengan meluasnya. Sejumlah besar pembaik tanih ini akan melarut lesap akhirnya ke air tanah dan apabila berlakunya hujan, bahan-bahan ini akan dihanyutkan oleh air ke dalam sungai. Justeru itu, sumber pencemar ini akan mengurangkan air bersih di kawasan Sungai Melaka.


Racun perosak juga merupakan bahan pencemar yang menjadi bahan penting di kawasan pertanian sebagai punca resapan untuk pencemaran air. Kehadiran bahan ini di dalam sungai walaupun dalam kepekatan yang kecil, boleh mendatangkan akibat yang serius dalam hubungannya kepada kebolehan air untuk diminum. Kebanyakan racun perosak secara relatifnya tak larut di dalam air, sementaranya yang lainnya mudah diserap oleh zarah tanih atau terdedah kepada penyahgredan mikrob. Racun yang berada di kawasan Sungai Melaka ini juga telah menyebabkan banyak hidupan akuatik telah mati akibat terdedah dengan racun perosak ini.


Langkah-langkah mengatasi



Langkah-langkah untuk mengatasi masalah pencemaran ini terbahagi kepada 4 bahagian utama iaitu peringkat antarabangsa, pemerintah, organisasi dan individu. Pada peringkat antarabangsa, pertubuhan-pertubuhan seperti WHO ( Pertubuhan Kesihatan Sedunia) dan Greenpeace telah ditubuhkan. Kedua-dua pertubuhan ini bertindak sebagai pengawas pencemaran. WHO memainkan peranan penting dalam mengawal pencemaran dan berhak menetapkan peraturan mengenai alam sekitar. Greenpeace pula memberi maklumat kepada orang ramai mengenai pencemaran yang terjadi di dunia dan menunjuk perasaan jika berlaku sesuatau pencemaran alam.

Pihak pemerintah dalam negeri perlu membantu bagi mengatasi masalah ini, misalnya Singapura, telah mengadakan berbagai undang-undang dan acara untuk meningkatkan lagi mutu alam sekitar. Undang-undang seperti sesiapa yang membuang sampah merata-rata akan dikenakan denda dan kehendaki membersihkan kawasan dengan diawasi oleh pegawai yang bertugas. Industri-industri yang membuang sampah atau kimia sewenang-wenangnya akan disaman.

Organisasi
-organisasi seperti sekolah, balai rakyat, kelab remaja dan syarikat boleh menyumbang kepada kebersihan alam sekitar. Pendidik harus menanamkan sikap prihatin kepada alam sekitar melalui pendidikan moral bagi memupuk sifat tanggungjawab terhadap alam sekitar. Balai rakyat pula boleh mangadakan pertandingan pada blok, kedai makan dan kawasan kejiranan yang terbersih. Kelab remaja booleh mengadakan himpunan untuk mengumpul suratkhabar dari rumah ke rumah dan juga memungut sampah di tepi pantai sambil beriadah. Syarikat harus mempunyai sikap tanggungjawab dalam pembuangan sampah.

Sebagai
seorang individu, kita hendaklah bijak memainkan peranan sendiri. Tiga sikap yang harus diamalkan adalah menggunakan semula barang-barang yang boleh digunakan semula menggunakan barang-barang yang dibuat dari barang-barang yang diproses semula dan mengurangkan penggunaan barang-barang yang tidak diperlukan . Sikap-sikap sebegini dapat mengurangkan pencemaran pada alam sekitar. Tidak lupa, sikap kesedaran pada diri sendiri harus ada untuk mengelakkan dari dunia terus dicemar.




Posted by : Muhammad Safwan Bin yusof ( 207377 )

Tuesday, August 03, 2010

PENCEMARAN AIR


Pengenalan

Pencemaran air ialah pencemaran yang berlaku di sungai, tasik, laut. Lokasi berair sering disalah anggap sebagai tempat pembuangan sampah terutama daripada aktiviti manusia.
Apa-apa perubahan langsung atau tidak lansung kepada sifat-sifat fizikal, haba, kimia, biologi atau radioaktif mana-mana bahagian alam sekeliling dengan melepaskan, mengeluarkan atau meletakkan bahan buangan hingga menjejaskan apa-apa kegunaan berfaedah, menyebabkan suatu keadaan yang berbahaya kepada kesihatan, keselamatan atau kebajikan awam atau kepada binatang, burung, hidupan akuatik atau tumbuhan. Air merupakan pelarut yang baik,dan kita amat memerlukan air yang bersih akan tetapi selalu mengandung berbagai zat terlarut mahu pun zat tidak terlarut serta mengandung mikroorganisma. Apabila kandungan berbagai zat mahu pun mikroorganisma yang terdapat di dalam air melebihi batas yang diperbolehkan, kualiti air akan terganggu, sehingga tidak boleh digunakan untuk berbagai keperluan baik untuk air minum, mandi, mencuci atau keperluan lainya.



Punca-punca pencemaran air


Setelah dikaji dan diteliti, terdapat banyak punca yang menyumbang kepada pencemaran air ini berlaku. Antaranya ialah:

  1. Sisa bahan buangan kilang seperti sisatosid yang dibuang ke dalam sungai oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Pembuangan ini dianggap mudah kerana tidak memerlukan kos pelupusan.
  2. Pembuangan bahan-bahan buangan seperti sampah, minyak dan najis oleh sesetengah pihak individu juga merupakan penyumbang ke arah pencemaran air.
  3. Penerokaan juga membantu menyumbang ke arah pencemaran air. Ini adalah kerana, penerokaan yang dijalankan sudah pasti menyebabkan hakisan tanah berlaku dan seterusnya tanah runtuh akan masuk ke dalam sungai danmenjadi mendakan. Mendakan ini boleh mencetekkan lagi paras air sungai dan se terusnya banjir akan berlaku.
  4. Sungai yang tercemar akan mengalir ke laut,dan membawa pencemaran bersama-samanya.
  5. Sesetengah bandar dan bandar raya di tepi pantai mengepam kumbahan terus ke dalam laut.
  6. Minyak yang tumpah daripada tangki minyak dan pelantar minyak merebak di lautan lalu membunuh burung laut,kerang-kerang dan hidupan liar yang lain.
  7. Pencemaran yang berpunca daripada pembuangan sisa kilang.Industri memproses serbuk pencuci pakaian memberikan kesan terhadap sistem air di laut.Bahan kimia, asid dan bahan organik seperti nutrien, bahan radioaktif dan gas semakin berleluasa mencemari laut.

Sesetengah bandar dan kampung mengepam pelbagai bahan buangan yang tidak dirawat,manakala kilang kadang kala membuang bahan beracun ke dalam sungai. Ini boleh membunuh ikan dan tumbuhan seperti haiwan air yang lain. Baja dan racun perosak kimia yang digunakan oleh petani juga dibawa oleh air hujan ke dalam sungai dan anak sungai. Bahan-bahan ini boleh membunuh berbagai-bagai jenis hidupan air.

Sikap tidak bertanggungjawab dan mementingkan keuntungan semata-mata telah membutakan hati dan perasaan manusia terhadap alam sekitar. Pengusaha kilang umpamanya, berusaha menjimatkan kos dengan mengambil jalan mudah, membuang sisa kilang ke dalam sungai walaupun menyedari kesannya terhadap persekitaran.


Selain itu, kekurangan pengetahuan menyebabkan pemilik industri tidak mengambil berat serta cuba mengelak piawaian keselamatan yang ditetapkan sama ada berhubung keselamatan manusia atau kestabilan alam sekitar. Pembangunan tidak boleh dipersalahkan sebagai punca kemusnahan alam sekitar. Pembangunan adalah rekaan manusia. Masalah ini harus dipandang serius kerana sungai merupakan sumber air yang paling utama. Kepesatan pembangunan industri, perumahan dan pembukaan tanah baru menyebabkan banyak sungai yang hilang keupayaan untuk memainkan peranan semula jadinya. Sekiranya fenomena ini berterusan, tidak mustahil rangkaian sungai di seluruh negara turut tercemar .

Seperti yang berlaku pada pencemaran udara, pencemaran air pula melibatkan pembuangan bahan-bahan toksid dan beracun ke dalam sistem pengairan. Biasanya pembuangan bahan-bahan kimia oleh pihak kilang seperti kilang getah dan kelapa sawit dan sebagainya pula mengakibatkan pencemaran air. Air yang tercemar ini mengganggu hidupan akuatik seperti ikan, kerang,udangdan lain-lain mati apabila memakan bahan beracun dari kilang ini. Jika ikan-ikan ini ditangkap dan dimakan oleh manusia, tentulah ia membawa kesan yang buruk kepada kita juga.



Jenis Pencemaran dan bahan



Jenis pencemaran dan bahan yang mengakibatkan kesan terhadap kesihatan adalah seperti di bawah :-










Racun









Cuka getah








Ikan yang dituba








Plastik


Bahan:-
  • Racun
  • Cuka getah
  • Tuba
  • Plastik
  • Bahan organik

Jenis-jenis penyakit yang akan dihadapi ialah :-
  • Penyakit ginjal
  • Gangguan sistem saraf
  • Kanser, hepatitis dan kerosakan sel darah merah
  • Gangguan pembuangan air
  • Terganggunya sistem pencernaan dan metabolisme
  • Kanser
  • Penyakit kulit ( panau, kurap, gatal, bisul )
  • Keracunan
  • Gangguan sistem saraf
  • Ginjal dan sistem metabolisme


Langkah-langkah mengatasi


Dalam usaha mengekalkan tahap pencemaran supaya tidak menjadi lebih teruk, maka langkah-langkah yang wajar perlu diambil supaya punca pencemaran dapat dikurangkan dan antara langkah-langkah yang boleh diambil adalah seperti menyediakan tangki takungan bawah tanah yang dirawat untuk mengatasi masalah pelepasan air buangan domestik supaya tidak dilepaskan terus ke dalam sistem perparitan maka adalah perlu disediakan tangki takungan bawah tanah dan dirawat menggunakan bioteknologi selaras dengan usaha negara menjadikan Malaysia sebagai pusat bioteknologi rawatan air ( Utusan Malaysia, 2006 ).

Pihak kerajaan juga seharusnya memperuntukkan sejumlah wang supaya sistem perparitan daripada kawasan perumahan terutama kawasan perindustrian dan juga pengusaha kedai makanan perlu dibina saluran paip khas supaya air buangan dapat dikumpulkan di kolam takungan sebelum disalirkan ke dalam sistem perparitan.

Pihak berkuasa juga perlu
menambahkan bilangan tong sampah di pusat pengumpulan sampah. Hasil tinjauan juga mendapati bahawa pengurusan sampah yang lemah bukan sahaja pada peringkat sekolah tetapi juga pada peringkat majlis perbandaran yang menyebabkan sampah bertaburan merata tempat. Oleh itu, peringkat sekolah, pengurusan tong sampah perlu ditambah di tempat strategik sebagai pusat pengumpulan sampah supaya sampah tidak melimpah.


Pemasangan perangkap sampah juga mampy untuk mengatasi sampah sarap yang dialirkan oleh air melalui longkang. Adalah perlu supaya perangkap sampah dipasang ditempat-tempat strategik di sepanjang parit utama untuk memerangkap sampah sara juga memudahkan pengurusan penyelenggaraan. Parit perlu diselenggara secara berkala supaya sampah sarap tidak menyebabkan sistem perparitan tersumbat. Dengan cara ini, maka sampah sarap tidak menyebabkan sekatan air sekaligus sampah tidak terlepas ke sistem saliran utama di sungai.

Kempen kesedaran melalui iklan di televisyen merupakan langkah yang sering di ambil oleh pihak tertentu untuk mengatasi masalah sikap kebanyakan penduduk yang bersikap tidak mengambil endah. Kempen kesedaran melalui iklkan di televisyen ini kebanyakannya berkisar mengenai kesan sikap individu yang membuang sampah tanpa memikirkan kesannya. Oleh itu, adalah perlu setiap individu perlu berubah. Kita seharusnya tidak mementingkan diri sendiri, kita seharusnya juga memikirkan keadaan generasi akan datang yang terpaksa menanggung hasil tindakan yang kita lakukan pada masa kini. Adalah menjadi harapan agar individu mula mencerminkan diri.



Posted by : Norhafiza Binti Mohd Johari ( 207412)