Tuesday, August 03, 2010

PENCEMARAN DARAT


Pencemaran Tanah


Definisi

Pencemaran tanah bermaksud perbuatan yang berlaku kepada sesuatu kawasan sehingga terjadinya pertukaran warna, kesuburan dan hakisan. Ianya disebabkan oleh bahan buangan dalam bentuk cecair atau pepejal. Bahan pencemar ini terdiri daripada pencemar organik, kimia atau fizik. Keseriusan pencemaran tanah bergantung kepada kesuburan tanah. Pencemaran menunjukkan tahap serius apabila kesuburan tanah sudah hilang dan akan bertukar warna menjadi kehitaman serta tumbuh-tumbuhan di kawasan tersebut menjadi layu.

Kebanyakan tanah yang merosot kualitinya adalah disebabkan oleh aktiviti manusia itu sendiri. Aktiviti-aktiviti seperti perlombongan, tebus guna tanah yang mengorbankan kawasan terumbu karang, penebangan hutan yang menyebabkan aliran tanah dari darat masuk ke dalam laut, pembuangan sampah sarap dan kumbahan yang tidak terkawal, pembuangan sisa toksik dan sisa nuklear, dan tumpahan minyak menyebabkan tanah tercemar.


Aktiviti perlombongan



Kesan-Kesan Pencemaran Tanah


1) Tanah Beracun


Kesan daripada pencemaran tanah ini kepada dunia sangat ketara seperti pencemaran-pencemaran lain juga. Ianya juga memberi kesan yang sangat buruk terhadap kesihatan manusia serta hidupan lain. Pembuangan sampah-sarap, sisa toksik dan nulear menjadikan tanah beracun dan tidak boleh didiami. Contoh yang paling ketara adalah letupan loji nuklear di Chernobyl, Russia. Kesannya dapat dirasai hingga ke Sweden, kerana 23 orang telah dilaporkan mati akibat daripada kesan radioaktif nuklear tersebut. Semua penduduk di sekitarnya dipindahkan dan di sesetengah tempat, penjualan daging terpaksa dihentikan kerana kadar pencemaran terlalu tinggi dan membahayakan kesihatan.


ii) Penyebaran Kuman-Kuman Penyakit


Selain itu, sampah-sarap yang dibuang di kawasan-kawasan lapang menjadi tempat pembiakan kuman penyakit. Tikus, lipas dan lalat dan haiwan perosak yang lain tertumpu di kawasan ini dan menyebarkan kuman-kuman penyakit ke tempat-tempat lain. Jika makanan yang dihinggapi lalat atau dimakan lipas , manusia mudah keracunan makanan dan seterusnya diserang penyakit yang serius.


iii) Pencemaran tanah


Pencemaran tanah juga merosakkan tanah dan kualitinya. Sisa-sisa industri dan hasil tumpahan daripada kenderaan pengangkut menjadikan tanah rosak dan kurang berkualiti. Tanah yang kurang berkualiti menyebabkan tumbuh- tumbuhan atau sayur-sayuran yang ditanam tidak hidup dengan sempurna dan tidak subur. Hujan asid yang meresap ke dalam tanah, perlombongan yang berlebihan, penebangan hutan atau pembalakan menyebabkan tanah terhakis dan rosak. Selain itu penggunaan racun serangga atau rumpai turut berperanan mengurangkan kualiti tanah. Kemajuan dari segi pengangkutan juga menyebabkan banyak kawasan tanah telah digunakan untuk tujuan pembinaan jalanraya, landasan keretapi dan lapangan terbang.

iv) Tanah Gersang

Seterusnya tanah juga menjadi gersang atau menjadi tanah gurun disebabkan oleh penggunaan tanah secara berlebihan dan tidak terkawal. Usaha pertanian yang dilakukan ke atas tanah yang kurang berkualiti (tidak subur), yang sering berlaku ke atas negara-negara yang kurang hujan, padang ragut yang terhad tetapi mempunyai ternakan yang banyak, sehingga berlakunya overgizing dan seterusnya padang ragut menjadi gondol, dan pertambahan penduduk yang terlalu tinggi yang memerlukan kawasan penempatan adalah antara punca-punca kejadian tanah gersang.

v) Membunuh Haiwan Bawah Tanah


Pencemaran tanah ini juga membunuh haiwan di bawah tanah ataupun apa-apa sahaja hidupan bawah tanah. Racun serangga yang disembur masuk dan berkumpul ke dalam tanah dan bahan-bahan cemar seperti sisa toksik dan nuklear membunuh haiwan-haiwan bawah tanah tersebut.


vi) Hakisan Tanah

Satu lagi kesan pencemaran tanah ini adalah hakisan. Hakisan tanah adalah salah satu fenomena yang sangat sering berlaku di seluruh dunia. Ianya bukan sahaja merugikan dari sudut kewangan dan ekonomi bahkan juga mengancam keselamatan dan nyawa manusia, misalnya tanah runtuh dan juga gempa bumi. Terdapat banyak negara-negara yang sedang diancam hakisan tanah. Di negara-negara tertentu juga, angin menjadi salah satu agen yang boleh menyebabkan hakisan. Antara aktiviti-aktiviti manusia yang boleh menyebabkan hakisan adalah pembersihan dan pembajakan serum bukit yang menyebabkan tiada tumbuhan yang dapat menahan tanah daripada dialirkan bersama-sama dengan air apabila hujan lebat, penebangan hutan, padang ragut yang meluas dan berlebihan, dan penanaman secara meluas hanya satu jenis tanaman.


Langkah-langkah penyelesaian


Langkah penyelesaian untuk menghadkan pembalakan dibuat oleh semua kerajaan negeri dengan mematuhi kuota pembalakan yang ditetapkan dalam usaha memastikan pengurusan dan pembangunan hutan berkekalan . Pihak kerajaan negeri juga disarankan supaya menanam semula pokok sebagai langkah pemeliharan semula hutan bagi tujuan pembalakan di masa hadapan . Tabung penanaman semula hutan diwujudkan ke arah memastikan semua pihak mematuhi peraturan undang-undang .

Di bawah garis panduan yang disediakan oleh Pertubuhan Antarabangsa Balak Tropika pula menitikberatkan beberapa aspek ke arah meningkatkan kesedaran pemeliharaan hutan tropika di kalangan negara anggota . Ini termasuklah :

  1. Menurunkan aktiviti dan kadar pembalakan secara sistematik dari tahun ke setahun.
  2. Membentuk plan penggunaan tanah di peringkat kebangsaan bagi pemeliharaan hutan dan pengeluaran balak yang berkekalan.
  3. Mempelbagaikan penggunaan sumber-sumber hutan dengan meningkatkan penggunaan kayu getah, buluh, rotan dan produk hutan lainnya.
  4. Menghadkan eksport kayu balak mentah tanpa diproses.

Aktiviti pembalakan



Di samping kerajaan persekutuan, Malaysia mempunyai 13 buah negeri yang mempunyai undang-undang yang tersendiri ke atas hutan dan pemeliharaan hutan masing-masing . Dalam konteks ini, sebarang peraturan yang diwartakan diperingkat kerajaan persekutuan tidak semestinya harus dilaksanakan serentak di semua negeri . Sementara itu, terdapat beberapa peruntukan dan kelonggaran yang diberikan kepada kerajaan negeri bahawa penebangan dan pemeliharaan hutan serta balak adalah bidang kuasa kerajaan mereka . Semua ini banyak membantu ke arah ketidakcekapan dan permasalahan dalam menguruskan sumber hutan dan pembalakan di negara ini .


Penutup


Pencemaran alam sekitar memberi banyak kesan yang sangat buruk terhadap dunia pada masa kini. Kejadian hujan asid, kesan rumah hijau, penipisan ozon adalah antara kesan-kesan pencemaran alam sekitar yang serius dan perlu ditangani segera sebelum ia menjadi lebih kritikal. Manusia dan juga hidupan lain saling berkait untuk terus hidup di dunia ini. Manusia memerlukan bahan makanan. Sekiranya sumber makanan dicemari, maka tiadalah sumber makanan untuk manusia.


Sekiranya penduduk dunia atau manusia bersikap sambil lewa dengan keadaan alam sekitar yang semakin tercemar ini, dunia mungkin akan menjadi semakin kritikal dan hidupan lain di muka bumi ini akan terjejas atau pupus secara tidak langsung dan kemungkinan dunia akan musnah secara perlahan-lahan.


Manusia seharusnya bertanggungjawab dan menjaga serta memulihara alam sekitar. Jika pencemaran dibiarkan berterusan, bumi akan kehilangan keindahannya dan mungkin suatu hari nanti, dunia ini tidak boleh lagi didiami oleh sebarang hidupan termasuklah manusia. Manusia seharusnya telah memulakan usaha-usaha untuk melakukan pemuliharaan terhadap alam sekitar yang telah musnah ataupun terjejas pada masa sekarang. Manusia tidak lagi boleh menunggu sehingga tibanya masa keadaan alam sekitar menjadi benar-benar kritikal, dan barulah mengambil tindakan, kerana segala-galanya mungkin akan terlambat dan tidak boleh diselamatkan lagi.


Kesimpulan


Kesimpulannya, manusia harus peka terhadap isu-isu alam sekitar dan berusaha untuk mengelakkan sebarang aktiviti yang boleh menyebabkan pencemaran serta berusaha memulihara alam sekitar untuk kesejahteraan hidup masa hadapan.



POSTED BY MUHAMAD ZULFADLI BIN AHMAD PAUZI (207368)

0 comments: