Friday, August 06, 2010

ALAM SEKITAR DAN KOMPONEN-KOMPONEN ALAM SEKITAR

"Konsep alam sekitar merupakan alam tabii adalah unsur-unsur alam sekitar yang melibatkan perhubungan antara dua unsur iaitu abiotik dan biotik. Unsur abiotik dikenali sebagai tidak hidup manakala unsur biotik pula dikenali sebagai unsur hidup seperti manusia dan ikan. Kesemua unsur alam sekitar saling berhubungan antara satu sama lain dalam suatu sistem yang harmoni dan dinamik" (Zaini Ujang, 1997)


SIFAT-SIFAT ALAM SEKITAR


Zaini Ujang berpendapat alam sekitar mempunyai sifat-sifat yang seimbang, indah dan segar. Seimbang ialah sentiasa harmoni, dinamik dan berhubungan antara satu unsur dengan satu unsur yang berbeza sifatnya. Contohnya ialah keseimbangan penghasilan oksigen yang dikeluarkan oleh tumbuhan berkaitan dengan penghasilan karbon dioksida yang dikeluarkan oleh haiwan dan manusia.

Indah pula merupakan persekitaran semula jadi seperti tumbuhan, gunung-ganang, lautan, sinar suria, air terjun dan sebagainya. Kesemua ini merupakan ciptaan Tuhan yang terbaik, suci dan sistematik. Manusia dijadikan supaya boleh menjadikan sumber alam semula jadi sebagai pusat ketenangan. Kita boleh beriadah dan berekreasi dengan keindahan alam sekitar seperti hutan, laut, jeram dan tasik.

Sifat alam sekitar yang segar disalurkan melalui warna-warna asli yang segar mata memandang. Warna-warni flora dan fauna adalah rahmat dan nikmat yang tidak terhingga kepada manusia dan hidupan alam seluruhnya. Kepelbagaian flora dan fauna memberi faedah kepada manusia dan makhluk yang lain supaya dapat membeza, mengenal pasti, menentu dan mengambil keputusan dalam sesetengah hal misalnya warna hijau merupakan tumbuhan segar dan boleh menyegarkan mata, rasa nyaman, sejuk, rehat dan tenang.

Manakala warna biru adalah unsur alam yang sesuai bagi manusia dan hidupan kerana ia melambangkan kilauan dan sifat air yang bersih dan sihat. Oleh itu, warna-warna alam sekitar memainkan peranan penting untuk manusia dan makhluk ciptaan Tuhan yang lain dalam kehidupan. Terdapat banyak warna lain yang terdapat dalam persekitaran kita, umpamanya warna merah, hitan dan kuning.


KOMPONEN-KOMPONEN ALAM SEKITAR


Atmosfera

Atmosfera terdiri daripada beberapa lapisan sfera yang berbaza-beza sifatnya antara satu sama lain. Ruangan atmisfera berada dalam lingkunagn kira-kira 100km dari muka bumi hingga ke angkasa lepas atau lebih mudah ia disempadani oleh lapisan ozon (Saberi Othman, 1986). Terdapat empat sfera dalam ruangan atmosfera yang dibezakan berdasarkan suhu udara yang terdiri daripada lapisan Troposfera, Stratosfera, mesosfera dan termosfera.


Unsur udara yang mempunyai oksigen (O2), nitrogen (N2), Hidrogen (H2) dan lain-lain dalam persekitaran akan menentukan tahap kebersihan udara. Punca-punca utama gas dan bahan cemar wujud daripada aktiviti manusia dan juga semula jadi. Sumber pencemar daripada manusia seperti pembakaran terbuka yang menghasilkan bau, habuk, abu, gas-gas dan lain-lain; kenderaan berenjin mengeluarkan bunyi bising dan asap; industri pula menghasilkan gas-gas beracun bagi manusia dan alam. Aktiviti-aktiviti manusia yang lain ialah pembakaran hutan, sektor pembinaan yang mengeluarkan debu serta habuk, letupan dan letusan gunung berapi , ribut pasir dan semburan (sea-spray).

Contoh 'Sea-Spray'

Litosfera



Lapiran litosfera pula terdiri daripada unsur batuan, tanah dan tanih. Lapisan tersebut merupakan struktur asas yang membina bentuk muka bumi dan unsur asas bagi kebanyakan hidupan menjalankan kehidupan dan mencari makanan. Boleh dianggap bahawa, lapisan litosfera merupakan habitat bagi sebahagian spesies yang hidup di dalamnya.


Manusia banyak menjalankan aktiviti mereka atas permukaan bumi yang terdiri daripada daratan seperti perkilangan, pembinaan, pengangkutan, cari gali minyak, gas dan mineral, pertanian dan pembalakan. Contoh pencemaran alam sekitar yang melibatkan Litosfera ialah hakisan tanah, tanah runtuh, gelunsur tanah dan tanah mendap.

Biosfera


Lapisan biosfera meliputi unsur hidupan atau hayat dan unsur ini tidak terhad kepada unsur yang bernyawa sahaja malahan turut melibatkan elemen yang tidak bernyawa. Unsur bernyawa dapat dicontohkan seperti manusia, haiwan, serangga, organisma dan mikroorganisma; manakala unsur tidak bernyawa pula seperti tumbuhan dan flora.

Lapisan ini penting bagi menstabilkan fizikal litosfera dan kehidupan hayat keseluruhannya. Kestabilan litosfera seperti tanah-tanih boleh disokong dengan tumbuhan; kehidupan manusia juga dibantu oleh tumbuhan yang mengeluarkan oksigen serta manusia juga menggunakan sumber daripada biosfera untuk makanan. Semua ini merupakan pertalian yang penting dalam sebuah ekosistem yang melibatkan lapisan litosfera dan biosfera.


Hidrosfera


Komponen alam sekitar yang tidak kurang pentingnya kepada ekosistem semula jadi dunia ialah hidrosfera. Secara mudahnya, hidrosfera merupakan lapisan yang terdiri daripada komponen berair dan ini melibatkan punca, proses kegunaan air, kitarannya dan kawasan yang terlibat dengan punca-punca air. Air ini wujud dipermukaan bumi, bawah tanah dan udara yang kesemuanya memainkan peranan penting dalam pergerakkan sistem dunia. Sememangnya air memainkan peranan utama dalam kehidupan makhluk bagi tujuan seperti minuman, pengankutan, menjalankan proses dalaman badan serta mandi bagi merendahkan suhu dan kebersihan badan.

Komponen ini juga tidak dapat dielakkan daripada menjadi mangsa pencemaran terutamanya pencemaran sungai. Dahulunya, sungai hanya dicemari oleh hakisan tanih kelodak tanih yang berpunca daripada aktiviti pertanian tetapi sekarang kegiatan manusia menjangkau jauh daripada punca tersebut dan mampu menjana punca pencemaran yang baru. Umpamanya pelepasan efluen domestik, perindustrian, perlombongan dan pelupusan sampah berhampiran sungai. Kepelbagaian punca pencemaran sungai ini adalah disebabkan oleh kegiatan pembangunan yang tidak terkawal dan kelalaian manusia menjaga khazanah alam sekitar semula jadi untuk generasi akan datang.



Perhubungan Antara Komponen


Sistem Alam Sekitar Fizikal (SASF) boleh dibahagikan kepada empat komponen penting iaitu atmosfera, litosfera, biosfera dan hidrosfera. Kesemua komponen saling berhubung dan bertindak balas antara satu sama lain, lantas membolehkan berubah dan musnah. Perhubungan tersebut merupakan pertalian yang kompleks atau rencana antara sesuatu unsur.

Memandangkan manusia sentiasa lalai terhadap kualiti alam sekitar, maka kemerosotan alam sekitar akan berlarutan dan menjadi semakin meruncing dan suatu masa nanti. Sekiranya manusia mencemarkan salah satu komponen alam sekitar seperti litosfera, kesan terhadap atmosfera, hidrosfera dan biosfera akan berlaku tanpa syak lagi. Impak dan kesan yang seumpanya wujud disebabkan semua komponen alam sekitar saling berhubungan antara satu sama lain. Malah ia akan berganda dalam bentuk kumulatif impak bagi sesetengah elemen. Peningkatan kadar kumulatif impak sangat dibimbangi oleh pencinta alam sekitar hingga ke hari ini kerana impak atau kesan tersebut sukar diatasi oleh kita.
SASF saling berkaitan antara satu sama lain untuk mewujudkan keseimbangan dinamik iaitu berubah-ubah tetapi dalam keadaan timbal-balik. Atribut atau subsistem yang dimaksudkan itu ialah litosfera, biosfera, hidrosfera dan atmosfera.


ABIOTIK DAN BIOTIK

Abiotik


Abiotik adalah unsur bukan dalam ekosistem semula jadi. Ia boleh dikaji menerusi dua pendekatan iaitu Fizik dan Kimia. Pendekatan fizik seperti suhu, cahaya, kedalaman air, hujan dan iklim; manakala yang kedua kimia yang melibatkan unsur seperti nutrien dan pH (saberi Othman, 1986)

Sesuatu perkara tidak berasingan dalam menjalakan proses, sebaliknya berlaku pertembungan dan persaingan antara unsur-unsur lain. Oleh itu, abiotik bergantung kepada biotik bagi menjalankan proses interaksinya. Contoh yang jelas ialah nutrien bergantung rapat dengan organisma (bakteria) bagi proses perkembangannya. Bakteria berfungsi untuk mereputkan haiwan, manusia dan sebagainya untuk mengembalikan semula khilangan nutrien secara semula jadi yang digunakan oleh tumbuhan dan organisma (Nor' Aini Dan, 1992). Disini jelas bahawa selain daripada nutrien (abiotik) memerlukan organisma (biotik), organisma juga memerlukan nutrien untuk membantu proses perkembangannya.

Biotik



Komponen biotik sebenarnya merujuk kepada unsur yang hidup atau bernyawa seperti manusia, haiwan dan organisma. Ia adalah bertentangan dengan komponen abiotik yang bukan terdiri daripada unsur bukan hidup. Komponen biotik ini sangat bergantung rapat dengan abiotik serta saling bertindak balas membentuk keseimbangan ekosistem. Sekiranya komponen biotik tidak wujud, seolah-olah alam ini diciptakan tidak lengkap dan tidak boleh berdiri sendiri untuk menjalankan proses semula jadi.


Contohnya unsur hayat seperti cacing yang bertindak dan memainkan peranan penting dalam mengeluarkan baja asli dan menggemburkan tanah. Sekiranya komponen biotik tidak wujud maka kemungkinan tanah mudah hilang nutrien semula jadi dan akhirnya hilang kesuburan dalam jangka masa tertentu. Walaupun terdapat unsur lain yang boleh menggantikan cacing. namun salah satu daripada agen penggembur tanah secara semula jadi akan hilang sekiranya cacing tidak wujud lagi. Dalam hal ini, unsur biotik dianggap penting dalam kelangsunan keseimbangan alam sekitar seperti ekosistem tanih.




Posted by : Leny Tong Chiou Yi ( 207528 )

0 comments: