Thursday, August 05, 2010

KITAR SEMULA


Pengenalan

Kitar semula ialah proses mengolah semula bahan buangan untuk menghasilkan barangan yang baru. Kitar semula dapat mengurangkan bahan buangan, mengurangkan penggunaan bahan mentah baru, mengurangkan penggunaan tenaga, pencemaran udara ( dari pembakaran ), dan pencemaran air ( dari tapak perlupusan ) dan mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau berbanding penghasilan barang baru dari bahan mentah. Kitar semula adalah komponen utama bagi pengurusan bahan buangan moden dan komponen ketiga bagi "pengurangan pembaziran, guna semula, kitar semula dan hirarki buangan ".

Bahan boleh dikitar semula termasuk:


Kaca


Kertas


logam


Plastik


Elektronik


Sungguhpun sama berkesan, penghasilan kompos atau kegunaan lain bahan buangan biodegrable seperti sampah makanan atau lebihan taman dan biasanya tidak dianggap kitar semula. Bahan yang hendak dikitar semula samada di bawa ke tapak pengumpulan atau dikutip dari tepi jalan dan disusun, dibersihkan dan diproses semula menjadi bahan baru bagi pengilangan.

Dalam erti kata sebenar, mengitar semula bahan buangan akan menghasilkan bekalan baru bagi bahan yang sama sebagai contoh kertas pejabat terpakai digunakan bagi menghasilkan kertas pejabat yang baru, atau polisterin terpakai digunakan bagi menghasilkan polisterin lain. Bagaimanapun, ini seringkali terlalu sukar atau terlalu mahal berbanding dengan menghasilkan keluaran yang sama dari bahan mentah atau sumber lain, dengan ini kebanyakan barangan atau bahan kitar semula sebaliknya membabitkan kegunaan semula bagi menghasilkan bahan lain seperti kadbod.

Pengkritik seringkali mempertikaikan kebaikan bersih dari segi ekonomi dan persekitaran mengitar semula berbanding kosnya, dan mencadangkan penyokong kitar semula seringkali menjadikan keadaan lebih teruk dan mengalami pengesahan berat sebelah. Khususnya, pengkritik mendakwa bahawa kos dan tenaga yang digunakan dalam pengumpulan dan pengangkutan mengurangkan dan melebihi kos dan tenaga yang dijimatkan dalam proses pengilangan juga kerja yang dihasilkan oleh industri kitar semula adalah pertukaran merugikan kepada kehilangan kerja dalam pembalakan, perlombongan dan industri yang dikaitkan dengan pengeluaran baru dan bahan seperti pulp kertas hanya boleh dikitar beberapa kali sebelum penguraian bahan menghalang lanjutan pengitaran semula. Penyokong kitar semula menafikan semua tuduhan, dan pengesahan pendapat kedua pihak mendorong kepada pertikaian yang yang berpanjangan.


Kepentingan kitar semula


Kitar semula mempunyai kepentingan yang tersendiri. Antara kepentingan kitar semula ialah untuk memelihara ruang hidup kita. Seperti yang diketahui, kini terdapat kira-kira 230 tapak pelupusan sampah di Malaysia. Setiap satunya berkeluasan antara 20 hingga 150 ekar, bergantung pada lokasi dan jumlah sampah yang dibuang. Jika tapak pelupusan sampah dipenuhi dengan sampah ini menyebabkan tapak baru perlu dibuka untuk menampung jumlah sampah yang banyak dan lambat laun, tapak-tapak ini akan berkembang dan menular mencerobohi ruang hidup kita.

Persekitaran yang lebih sihat dan selesa juga diperolehi dengan mengamalkan kitar semula. Sampah yang banyak akan menjejaskan kesihatan manusia dan kebersihan persekitaran. Kitar semula ini dapat mengurangkan sampah yang dibuang dan seterusnya mengawal penyakit daripada menular dengan cepat. Kitar semula ini dapat mengurangkan pencemaran akibat daripada longgokan bahan buangan di dalam tong sampah, lori atau tapak pelupusan sampah yang mana merupakan salah satu punca daripada tiga pencemaran utama.

Selain daripada itu, kos, sumber dan tenaga dapat dijimatkan. Dengan mengitar semula 1 tin alumunium, kita umpama menjimatkan tenaga elektrik selama 3 jam daripada penggunaan televisyen. Apa yang dapat kita perolehi daripada mengitar semula kertas secara maksimum ialah kita dapat mengurangkan penebangan pokok dan secara tidak langsung kita dapat memelihara sumber hutan semulajadi.


Masalah atau halangan kitar semula

Pada masa kini, konsep kitar semula ini kurang diterapkan dalam diri masyarakat kerana masyarakat pada hari ini lebih mengamalkan sikap tidak menghiraukan alam sekitar. Antara punca dan halangan utama yang menyebabkan amalan kitar semula ini tidak mendapat sambutan ialah sikap individu dimana terdapat segelintir masyarakat yang tidak mempedulikan amalan kitar semula ini. Kebanyakan barangan yang boleh dikitar semula dibuang dan dibakar begitu sahaja.

Selain daripada itu kurangnya pengetahuan di kalangan masyarakat pada masa kini yang membuang bahan kitar semula kerana mereka tidak sedar betapa pentingnya amalan kitar semula. Bagi mereka, amalan kitar semula ini hanya membuang masa dan tidak mendatangkan sebarang kepentingan.

Kebanyakan pusat pengumpulan mengambil barangan kitar semula dnegna harga yang rendah menyebabkan penduduk sekitar lebih senang membakar bahan tersebut daripada menjualnya. Di samping itu, kurangnya pusat pengumpulan bahan kitar semula juga menjadi punca utama mengapa amalan kitar semula ini tidak mendapat sambutan. Selain daripada itu, terdapat juga masyarakat yang tidak memberikan kerjasama apabila kempen kitar semula ini dijalankan oleh kerajaan. Sikap tidak ambil peduli tentang amalan kitar semula ini menyebabkan usaha kerajaan untuk menjimatkan tenaga dan bahan kitar semula tidak akan terlaksana.


Langkah-langkah untuk mengatasi masalah


Bagi memastikan amalan kitar semula ini dijalankan di kawasan kajian, beberapa langkah atau tindakan dapat di lakukan bagi memastikan amalan tersebut dapat dilaksanakan dengan baik. Langkah-langkah tersebut adalah seperti mengadakan kempen bagi melahirkan masyarakat yang lebih prihatin terhadap alam sekitar. Selain itu, kempen ini dapat memberikan kesedaran kepada rakyat supaya menjaga alam sekitar daripada mengalami kemusnahan.

Pendidik juga memainkan peranan penting dalam memberikan galakan kepada pelajar untuk melaksanakan amalan kitar semula. Pendidik perlu menyatakan bahawa amalan kitar semula dapat menyelamatkan bumi dari ancaman kemusnahan. Dengan memberikan pendekatan yang menarik, pelajar dapat memupuk minat pelajar untuk mencintai alam sekitar.

Peranan kerajaan juga perlu untuk memastikan amalan kitar semula ini mendapat sambutan dengan cara menyediakan lebih banyak lagi kemudahan pusat pengumpulan. Institusi pendidikan juga boleh menyediakan tong-tong kitar semula dan diletakkan di lokasi yang strategik begi memudahkan pelajar membuang bahan yang boleh dikitar semula ke dalam tong yang betul.

Amalan gotong-royong juga mampu menjamin kebersihan persekitaran sekaligus mengumpulkan bahan kitar semula dan tidak membakar atau membuangnya begitu sahaja. Semua pihak perlulah berganding bahu dan bekerjasama agar kitar semula ini dapat dijalankan dengan sempurna. Semua peringkat umur perlu mempunyai sikap bertanggungjawab untuk bersama-sama menjaga bumi ini daripada ancaman kemusnahan.




Posted by : Umi Nazihah Bt Mohd Misleh (2074
11)

0 comments: